24 Jan 2017

MDIS disenarai institusi pendidikan ke-15 terbaik di SingapuraMDIS in the News

INSTITUT Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) telah disenaraikan sebagai institusi pendidikan ke-15 yang terbaik di Singapura oleh ranking universiti dunia, Webometrics – menjadikannya salah sebuah institusi pendidikan swasta terbaik di negara ini.

Universiti Nasional Singapura (NUS) berada di tempat pertama diikuti Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) berada di kedudukan keempat, manakala Politeknik Ngee Ann di ranking kelima dan Politeknik Singapura di tangga keenam.

Mengulas mengenai ranking terkini itu, Setiausaha Agung MDIS, Dr R Theyvendran, berkata:

“Kami amat berbesar hati disenaraikan sebagai salah sebuah institusi pendidikan swasta terkemuka di Singapura.

“Sejak 60 tahun lalu, MDIS telah berkembang kukuh dari masa ke masa dan pada masa ini kami mempunyai lebih 13,000 pelajar.”

Menurut beliau, para pelajar institusinya datang daripada lebih 80 negara.

MDIS telah diterima baik dengan ada dalam kalangan pelajarnya terdiri daripada anak orang kenamaan, termasuk anak perempuan Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak; anak perempuan Presiden Zimbabwe Robert Gabriel Mugabe; dan anak Presiden Indonesia Joko Widodo.

“Kami akan terus bekerjasama dengan universiti terkenal dengan menawarkan program di peringkat global yang diiktiraf bagi pelajar kami.

“Kami berharap dapat mengembangkan kampus kami di Tashkent dan membuka jenama kampus baru di EduCity @ Iskandar di Malaysia. Terdapat juga rancangan meneroka peluang di Sri Lanka dan Filipina,” ujar Dr Theyvendran.

MDIS menawarkan kursus yang diiktiraf di peringkat antarabangsa daripada universiti yang diiktiraf di peringkat global seperti di Perancis, Britain dan Amerika Syarikat.

Institut yang ditubuhkan pada 1956 itu telah mendapat pensijilan EduTrust pada 2010, yang merupakan skim jaminan mutu dan pada 2015 menerima Anugerah Enterprise 50.

Webometrics pula merupakan sistem ranking yang terdapat di laman web Jawatankuasa bagi Pendidikan Swasta (CPE).

Ia menyediakan senarai sistem pendidikan di peringkat global, dan dengan itu membolehkan pelajar memutuskan antara institusi pendidikan Pengajian Tinggi pilihan mereka.

Kedudukan institusi dalam senarainya dikemas kini dua kali setahun pada Januari dan Julai.

Penilaian dibuat berdasarkan komitmen universiti terhadap pengajaran, hasil penyelidikan, prestij antarabangsa, rangkaian dengan komuniti termasuk industri dan ekonomi.

 

Source: Berita Harian, 24 January 2017 © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction. Click here to view PDF.